JOHOR BAHRU 28 Mei – Pemandu sebuah lori tangki dan kelindannya maut selepas kenderaan berat dinaiki mereka terbabas sebelum memasuki gaung sedalam kira-kira 10 kaki dalam satu kejadian di Jalan Ulu Tiram, pukul 7.38 pagi ini.
Penguatkuasa Bomba Kanan II, Anuar Amdzah memaklumkan, kemalangan itu turut mencederakan seorang lagi mangsa yang merupakan penumpang lori tangki berkenaan.

KEADAAN sebuah lori tangki membawa muatan simen hangus terbakar dalam kejadian kemalangan di Jalan Ulu Tiram menghala ke Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru, Johor hari ini. – UTUSAN ONLINE/ Ihsan Bomba
“Pemandu lori berkenaan maut selepas tercampak keluar daripada lori, manakala kelindannya maut akibat rentung selepas lori tersebut terbakar.

“Seorang lagi penumpang mengalami kecederaan patah di bahu kanannya dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











