SEREMBAN 29 Mei – Seramai 180 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini akan terlibat dalam Ops Raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula hari ini hingga 13 Jun ini.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, mereka akan dibantu oleh kakitangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yang melakukan kempen keselamatan jalan raya dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang membuat saringan ke atas pemandu bas awam.
“Kita berharap kempen keselamatan, saringan ke atas pemandu bas dan tindakan penguatkuasaan sepanjang operasi ini bukan saja akan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tetapi menjadikan perjalanan pada musim perayaan ini lancar dan selamat.
“Kami juga berharap orang ramai terutamanya pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan arahan pihak berkuasa daripada semasa ke semasa,” katanya kepada para pemberita selepas melakukan pemeriksaan di stesen bas Terminal One di sini hari ini.
Menurutnya, JPJ akan menempatkan empat anggotanya di stesen bas itu bersama tiga anggota AADK mulai pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari sepanjang ops tersebut.
Dalam pemeriksaan hari ini, Azrin berpuas hati semua bas terutamanya bas ekspres berada dalam keadaan baik dan mematuhi semua arahan ditetapkan.
“Kami telah periksa bas di depoh masing-masing dalam Ops Sisih minggu lalu dan mengarahkan tindakan diambil oleh pengusaha supaya kenderaan masing-masing diselenggara dan komponen berfungsi dengan baik,” ujarnya.
Beliau yang turut melawat kaunter jualan tiket turut mengingatkan kakitangan yang bertugas supaya menjual tiket di bahagian dalam kaunter.
Jelasnya, pihaknya memantau aktiviti ulat tiket dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan itu. – UTUSAN ONLINE











