KUALA LUMPUR 11 Mei – Sebanyak 16 lokasi bazar Ramadan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak akan menyediakan straw plastik atau penyedut minuman bagi menjayakan Kempen Bebas Penyedut Minuman Plastik.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh MPSJ melibatkan 236 peniaga minuman di bazar Ramadan MPSJ itu seharusnya dipuji.
“Saya berharap inisiatif kempen bebas penyedut minuman plastik dapat diperluas ke lebih banyak bazar Ramadan dan pasar pagi atau pasar malam seluruh Selangor pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Bebas Straw Plastik pada Majlis Kunjungan Mesra Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2019 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara, Jalan BK 5 A/1, Puchong dekat sini semalam.
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata, selain bebas penyedut minuman plastik, MPSJ meneruskan inisiatif hijau ke arah bazar Ramadan mampan sejak 2014.
“MPSJ meneruskan inisiatif hijau antaranya membawa bekas makanan sendiri ke bazar, tiada penggunaan polisterina di bazar, pengurangan beg plastik dan kempen kesedaran kitar semula minyak masak,” katanya.- UTUSAN ONLINE











