SUNGAI PETANI 9 Mei – Hujan lebat sejak tengah malam tadi mengakibatkan 15 buah rumah di Kampung Ragent, Berapit dan Bongkok di daerah Kuala Muda di sini, dilanda banjir kilat.
Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, walau bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu.
“Di Kampung Ragent, melibatkan sebanyak lima buah rumah dengan 24 orang penghuni manakala di Kampung Berapit, sebanyak empat buah rumah dengan 15 orang penghuni.
“Di Kampung Sungai Bongkok pula melibatkan sebanyak enam buah rumah dengan 16 orang penghuni,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azahar seterusnya menasihatkan penduduk di kawasan tepi sungai supaya menghubungi talian 999 jika berlaku banjir di kawasan masing-masing.
“Saya juga ingin menasihatkan penduduk agar berhati-hati dengan kemungkinan kehadiran binatang berbisa di musim begini, termasuk ular,” katanya.
Terdahulu beliau turut menghulurkan bantuan makanan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada semua mangsa banjir kilat setelah mereka didaftarkan.
Katanya, ini termasuk seorang mangsa air laut pasang besar iaitu, Sapiah Daud, 66, di Kampung Pangkalan Batu Lintang, Simpor di sini.
Penghulu Mukim Pekula, Tikam Batu di sini, Zamri Jamaludin mengucapkan terima kasih kepada anggota APM Daerah Kuala Muda kerana segera menghulurkan bantuan kepada penduduk. – UTUSAN ONLINE











