KUALA LUMPUR 11 Mei – 12 wanita warga Thailand ditahan selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan disyaki bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Kelang Lama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfield berkata, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira pukul 2.40 pagi.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ruslan, kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, premis tersebut turut dikenakan dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 4 Akta Hiburan 2003 kerana menjalankan perniagaan dengan lesen hiburan tamat tempoh. – UTUSAN ONLINE











