IPOH 11 Mei – Sebanyak 10 buah rumah di kawasan Klebang Prima di sini rosak akibat ribut petang ini.
Rumah yang terlibat mengalami kerosakan bumbung malah ada di antara mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana rumah mereka terjejas teruk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Asmuni Awi yang meninjau rumah mangsa ribut berkata, pihaknya telah menyampaikan bantuan atap bagi membaik pulih bumbung yang rosak.
Menurutnya, rumah yang terjejas akan dibaik pulih dengan segera.
“Sebaik sahaja saya mendapat maklumat, saya bersama pasukan Pusat Khidmat Peduli Rakyat DUN Manjoi segera turun melihat keadaan rumah yang terjejas serta mangsa yang terlibat.
“Memasuki waktu Maghrib, kami masih melawat rumah-rumah yang rosak akibat ribut tersebut. Kira-kira 10 buah rumah yang terlibat.
“Semoga mangsa-mangsa yang terlibat bersabar dengan ujian ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











