JOHOR BAHRU 26 Mei – Tidak sampai dua jam mayat pertama dipercayai seorang daripada dua nelayan yang hilang ketika menjaring ikan di Pulau Pisang dekat sini pada Khamis lalu ditemukan pada pukul 8.15 pagi ini, seorang lagi mayat ditemukan pagi ini namun di perairan berlainan.
Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat kedua itu ditemukan terapung-apung di posisi lebih kurang 1 batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut, Pontian pada pukul 9.50 pagi tadi.
“Mayat berkenaan ditemukan kira-kira 7 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Mayat berkenaan ditemukan oleh nelayan tempatan yang turut serta dalam pencarian dua nelayan yang hilang sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang Khamis lalu, Mohd. Yusni Mohd. Yusof, 43, dan sepupunya, Mohd. Khair Ismail, 38, pergi ke pulau berkenaan untuk menjaring ikan sebelum tidak pulang semula ke rumah masing-masing.
Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis sebelum operasi dan gerakan mangsa dilakukan melibatkan pihak maritim, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, polis marin dan nelayan setempat.

Aminuddin berkata, mayat berkenaan sedang dalam proses dinaikkan oleh anggota mencari dan menyelamat (SAR) dan akan dibawa ke Jeti Nelayan Ayer Baloi bagi tujuan pengecaman.
Mayat pertama ditemukan pada pukul 8.15 pagi ini di terapung-apung kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat.
Menurut Aminuddin, mayat pertama dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat manakala mayat kedua dihantar ke Hospital Pontian.
Tambah beliau, bot fiber yang dinaiki kedua-dua nelayan tersebut semasa keluar menjaringa ikan tidak ditemukan. – UTUSAN ONLINE











