BESUT 10 April – Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) akan sentiasa menyokong usaha untuk meningkatkan pengetahuan pensyarah dan guru pelatih dengan melibatkan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif YGTHO, Zahirudin Mohammad Hanif berkata, penganjuran Global Ambassador Programme 2019 (GAP ’19) merupakan antara kaedah untuk menguasai kekuatan sebuah institusi terutama dari perspektif budaya para pelajar.
Katanya, GAP selama tiga hari itu memberi peluang kepada peserta berkongsi kemahiran dalam pelbagai disiplin terutama dari sudut pertukaran budaya dan menghasilkan kompetensi dan kolaborasi dengan pelbagai pihak di dalam dan di luar negara.
Menurutnya kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) pada masa yang sama akan membantu meningkatkan profesionalisme pensyarah serta memperkayakan pengetahuan guru pelatih.
“Visi Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai pemimpin dalam kecemerlangan pendidikan memerlukan pensyarah serta pelajarnya yang mempunyai pengetahuan tinggi yang menghasilkan pensyarah dan pelajar berkualiti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan GAP 2019 yang melibatkan tiga Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di IPGKSM dekat sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Unit Antarabangsa dan Jalinan Kerjasama IPG, Mohd. Rozi Ismail.
Seramai 77 pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu menyertai program tiga hari itu.
Beliau berkata, usaha tiga IPTA yang merintis program itu merupakan langkah ke depan yang baik untuk melahirkan guru cemerlang yang bukan hanya bergantung kepada bidang pendidikan dan akademik tetapi juga kekuatan budaya.
Tambahnya, GAP juga mempunyai impak besar kerana pengalaman pensyarah dan pelajar IPG itu mengendalikan program akan membantu mereka menganjurkan program peringkat antarabangsa yang lebih berkesan pada masa depan. – UTUSAN ONLINE











