Warga Felda menanti pembentangan Kertas Putih Rabu ini - Utusan Malaysia

Warga Felda menanti pembentangan Kertas Putih Rabu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 April – Keseluruhan warga Felda tidak sabar menantikan Kertas Putih Felda yang akan dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin pada Rabu ini, dengan harapan kerajaan menyelesaikan segala kemelut yang sering diperkatakan mengenai agensi tersebut.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Mohamed Azmin yang akan membentangkan permasalahan dan strategi memulihkan Felda di Parlimen nanti.

“Biar kita tunggu Rabu ini. Kita serah pada menteri. Selepas itu kalau yang baik kita sokong, yang kurang kita sama-sama perbaiki,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beberapa pihak menagih tindakan segera daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diterajui Mohamed Azmin supaya menyusun langkah memulihkan Felda berbanding hanya mendedahkan penyelewengan yang berlaku dalam agensi tersebut.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, Kertas Putih Felda itu akan dibentangkan di Parlimen dan Ahli-ahli Parlimen berpeluang berbahas mengutarakan padangan terhadap isu Felda.

Sementara itu Penasihat Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda, Datuk Zulkefli Nordin berkata, antara perkara yang mahu diberi perhatian ialah penyusunan semula pentadbiran Felda, agar mereka yang benar-benar berjiwa Felda sahaja dibawa masuk ke dalam pentadbiran Felda.

“Untuk tujuan ini, Felda perlu meluaskan peluang kepada anak-anak peneroka Felda berada dalam pentadbiran Felda. Perlu ada suara akar umbi daripada kalangan peneroka Felda.

“Maka itu, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan perlu dibawa masuk dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

Belia juga mahu sistem pengurusan kewangan Felda diperkemaskan lagi kerana berpandangan pihak yang menguruskan kewangan sebelum ini didakwa gagal menunaikan amanah dengan sepatutnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini