KUALA LUMPUR 5 April – Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai mencederakan diri sendiri dalam kejadian di bilik sewa di USJ 6 di Subang Jaya, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi itu, mayat wanita berusia 24 tahun ditemukan jirannya yang terdengar jeritan mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Amihizam Abdul Shukor berkata, jiran mangsa kemudiannya menghubungi pihak polis sebelum sepasukan anggota dari unit rondaan bermotosikal (URB) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat.
“Setiba di lokasi, pintu rumah berkenaan dikunci dari dalam menyebabkan pihak polis terpaksa memotong jeriji besi rumah berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati seorang wanita ditemui terbaring dia atas katil dalam bilik dengan kesan darah akibat kecederaan dialami,” katanya di sini hari ini.
Tambah Amihizam, wanita berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
“Keputusan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana bunuh diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah berhubung kejadian,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











