KUALA LUMPUR 1 April – Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan apabila sebuah kereta tiba-tiba memasuki lorong kecemasan dalam kejadian berdekatan susur masuk Seremban, Negeri Sembilan, Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke ibu negara, semalam.
Video media sosial
Kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 4.20 petang yang dirakam kamera sebuah kenderaan yang melalui lebuh raya itu tular di media sosial sejak semalam dan kebanyakan warganet mengecam tindakan pemandu kenderaan tersebut.
Menerusi rakaman kamera berdurasi 35 saat yang dimuat naik seorang pengguna Facebook itu, kelihatan sebuah kereta Toyota Hilux yang memandu di lorong tengah tiba-tiba menukar lorong kiri sebelum terus memasuki lorong kecemasan secara tergesa-gesa.
Akibat daripada tindakan pemandu kereta itu, penunggang motosikal Yamaha R15 yang menunggang di laluan kecemasan terpaksa memperlahankan motosikalnya secara mengejut sebelum hilang kawalan dan mengakibatkannya terjatuh.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan dan patah jari kaki kiri.
Warganet turut membuat carian menerusi nombor pendaftaran kereta Toyota Hilux tersebut dan mendapati kenderaan itu mempunyai enam saman kerana memandu melebihi had kelajuan ditetapkan.
Sementara itu, pemilik kereta Toyota Hilux berkenaan mendakwa pada waktu kejadian, kenderaan tersebut dipandu oleh pekerjanya.- UTUSAN ONLINE











