USAS cadang cari peluang bidang perniagaan di Indonesia - Utusan Malaysia

USAS cadang cari peluang bidang perniagaan di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 10 April – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bercadang mencari peluang-peluang yang ada di Indonesia terutama dalam bidang perniagaan pada masa depan.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi berkata, peluang tersebut bukan sekadar mencari pelajar dari negara ini untuk melanjutkan pengajian di USAS tetapi lebih penting ialah membina rangkaian perniagaan antara kedua-dua negara.

“Sampai masanya peranan kedutaan untuk membantu dalam bidang perniagaan. Kalau boleh pelajar USAS diberikan peluang untuk mendapat pendedahan dalam perniagaan dengan mencari rakan niaga seawal mereka di bangku kuliah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Contohnya pihak kedutaan boleh membantu mencari syarikat-syarikat di sini untuk ditempatkan pelajar kami,” katanya dalam ucapan ketika rombongan USAS diraikan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam majlis minum petang di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri oleh Timbalan Duta Besar, Zamshari Shaharan dan pegawai-pegawai kanan kedutaan.

Bagaimanapun, Nordin berkata, buat masa sekarang pihaknya lebih menumpukan usaha membina hubungan persahabatan dengan pihak-pihak di Indonesia.

Sementara itu Zamshari berkata, perubahan kerajaan yang berlaku di Malaysia sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu disambut positif oleh masyarakat Indonesia.

Tanpa mendedahkan punca perubahan sentimen itu, beliau berkata, kita perlu merebut peluang tersebut dengan meningkatkan hubungan kedua-dua negara.

“Kita boleh berkongsi untuk bagaimana kita boleh membantu USAS memperbaiki bidang-bidang tertentu yang kita terlepas pandang sebelum ini,” katanya.

Zamshari memberitahu, pihaknya akan mengadakan pameran pendidikan dinamakan Jom Kuliah ke Malaysia pada 27 April ini bagi menarik lebih ramai rakyat Indonesia belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini