JOHOR BAHRU 11 April – Dewan Muda Johor (DMJ) menyanggah sekerasnya dan sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan “jika Raja yang pilih MB, Malaysia bukan lagi negara demokrasi”.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Kesihatan, Prasarana dan Alam Sekitar DMJ, Ahmad Farhanuddin Othman, Malaysia sememangnya sebuah negara demokrasi dan ia terbukti setiap lima tahun rakyat negara ini diberi kuasa dan hak mengundi untuk memilih pemimpin.
Tambahnya, pada 9 Mei 2018 adalah puncak pendemokrasian di Malaysia apabila kerajaan yang memerintah selama 61 tahun berjaya ditumbangkan dan digantikan dengan Pakatan Harapan (PH), ia secara tidak langsung menolak tanggapan kerajaan terdahulu ‘main kotor’ atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus.
“Berbalik kepada situasi pelantikan Menteri Besar Johor ini, Sultan Johor diberikan kuasa dan budi bicara di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Johor untuk melantik Menteri Besar pilihan baginda. Jadi, hormatilah kuasa Sultan Johor untuk memilih dan melantik Menteri Besar.
“Kami di DMJ percaya dengan menghormati perkara tersebut, kemelut pelantikan Menteri Besar Johor akan berjaya diselesaikan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Farhanuddin berkata, DMJ juga percaya sesuatu tindakan yang mengikut perlembagaan dan undang-undang tidak boleh dilabel tidak demokrasi sebaliknya ia adalah satu cabang sistem demokrasi dan Raja berperlembagaan yang perlu kita hormati.
Tambahnya, muafakat itu berkat. – UTUSAN ONLINE










