Tubuh mahkamah rantau Asia - Utusan Malaysia

Tubuh mahkamah rantau Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SUSULAN keputusan kerajaan Malaysia untuk menolak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas faktor tertentu, pihak kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh memberi pertimbangan untuk duduk berbincang serta mengusulkan kepada negara-rantau Asia Tenggara bagi mewujudkan satu bentuk agensi atau tribunal pengadilan yang lebih sesuai dengan keadaan negara-negara di rantau tersebut.

Penubuhan mahkamah jenayah peringkat Asia Tenggara ini dilihat penting bagi memastikan tiada negara serantau di Asia Tenggara yang melakukan sebarang tindakan kekejaman dan penindasan terhadap mana–mana pihak dalam negara sendiri serta terhadap negara serantau.

Pada masa sama juga, penubuhan sebuah mahkamah berkenaan di peringkat serantau dapat memberi isyarat jelas kepada semua negara-negara di Asia Tenggara untuk tidak melakukan sebarang jenayah serius kemanusiaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Awal bulan Mac lalu pihak Wisma Putra telah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan surat berkenaan telah diserahkan kepada pihak Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun pada Jumaat lalu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil keputusan menarik diri dari menjadi anggota kepada Statut Rom serta ICC.

ICC telah ditubuhkan lebih 20 tahun lalu pada 1998 dan mula beroperasi pada 2002. Melalui keanggotaan negara kita ke dalam ICC ini, Malaysia kini menjadi negara yang ke 124 yang menanggotai ICC.

Ia ditubuhkan sebagai satu tribunal tetap untuk membicara kes jenayah berat melibatkan pembasmian kaum, jenayah terhadap hak asasi manusia, jenayah perang, jenayah kekerasan dan sebagainya.

Sudah sampai masanya Pertubuhan Negara–Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang terdiri daripada 10 buah negara ini memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah mahkamah jenayah khas peringkat serantau.

Mahkhamah ini khusus bagi menyiasat segala kegiatan atau aktiviti jenayah kemanusiaan berlaku dalam kalangan negara–rantau ASEAN.

Perkara ini dilihat penting berikutan krisis kemanusiaan teruk dan berterusan yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar buat sekian lama.

ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau perlu berani mengambil langkah lebih proaktif dan drastik yang boleh menjamin hak asasi manusia di rantau ASEAN.

Selain itu ia memberi peluang kepada mana–mana pihak yang ditindas di rantau ini untuk membawa aduan ke muka pengadilan.

Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau.

Mahkamah jenayah berkenaan boleh memainkan peranan sama seperti mahkamah jenayah antarabangsa (ICC) yang berada di The Hague, Belanda dengan melakukan proses pemantauan terhadap aspek pematuhan hak asasi manusia dalam kalangan negara–negara ASEAN.

Bagi menjayakan cadangan di atas, pelbagai langkah perlu diambil dalam kalangan negara ASEAN seperti dengan melakukan pindaan besar terhadap piagam, perjanjian, instrumen sedia ada atau mewujudkan piagam baru bagi menjayakannya.

Ia juga menuntut kerjasama serta iltizam yang tinggi dalam kalangan negara–negara ASEAN bagi mematuhi segala peruntukan atau kuasa mahkamah khas berkenaan setelah ianya ditubuhkan kelak.

Walaupun cadangan penubuhan mahkamah khas terbabit dilihat sukar serta akan mengambil tempoh masa yang panjang.

Namun cadangan penubuhan mahkamah khas berkenaan adalah penting supaya tiada pihak dalam kalangan negara–negara ASEAN berterusan melanggar peruntukkan undang–undang antarabangsa serta prinsip – prinsip keamanan dan kemanusiaan.

Apatah lagi ia telah dipersetujui oleh negara-negara ASEAN terutamanya dalam aspek perlindungan dan jaminan hak asasi manusia.

PENSYARAH KANAN
Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini