Track record Tok Mat sekat PH? - Utusan Malaysia

Track record Tok Mat sekat PH?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH)), Dr. S. Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional) dan dua calon bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin.

Kempen PRK DUN Rantau berjalan lancar sejak hari penamaan calon pada 30 Mac lalu. Walaupun kempen rumah ke rumah dan ceramah umum pelbagai bentuk dan kaedah diadakan oleh calon-calon yang bertanding terutamanya calon PH dan BN, ada juga pihak menggunakan kempen yang dilihat kurang tertib atau kotor yang boleh mencemarkan tatasusila kempen pilihan raya.

Antaranya mengibarkan kain rentang ayat provokasi dan menyentuh isu perkauman. Tujuan menggunakan kaedah kurang sopan ini adalah untuk memesongkan dan menimbulkan ketegangan dalam pemikiran pengundi Rantau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, pelbagai janji dan harapan disajikan kepada pengundi Rantau oleh calon-calon yang bertanding dalam usaha meraih undi bagi memastikan kemenangan.

Namun, pengundi Rantau kelihatan sudah pun membuat ketetapan mengikut perhitungan mereka untuk keluar mengundi memilih wakil mereka Sabtu 13 April ini.

CALON BEBAS

Calon bebas Malarvizhi merupakan anak tempatan dan pernah berkhidmat sebagai penyampai radio di Toronto, Kanada berpuluh-puluh tahun.

Meskipun demikian, beliau kelihatan masih belum merancakkan kempen malah didapati masih belum menembusi hati pengundi Rantau.

Malarvizhi mengumumkan manifestonya menggariskan enam perkara termasuk menerap budaya kitar semula dalam masyarakat Rantau.

Seorang lagi calon bebas, Mohd. Nor Yassin yang merupakan bekas guru dan pensyarah Ilmu Pendidikan IPG Raja Melewar akhir-akhir ini turun padang berjumpa media dan pengundi Rantau.

Malah turut melancar manifestonya menggaris lima misi utama termasuk membangun bersama Islam dan perpaduan kaum.

Malah beliau berhasrat meneruskan perjuangan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu membawa mesej kebenaran.

Beliau dilaporkan sebagai bekas ahli Parti Pas dan baru masuk Parti Amanah sebagai ahli (parti gabungan Pakatan Harapan). Beliau juga pernah bertanding pada PRU-13 sebagai calon mewakili Pas bagi DUN N 35 Gemencheh malah berpengaruh dalam kalangan ahli-ahli Pas di Tampin dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Streram selaku mewakili parti memerintah menghidangkan pelbagai janji kepada pengundi Rantau termasuk membawa pembangunan, perusahaan dan perumahan kepada kawasan Rantau. Antaranya juga balai bomba.

Beliau berjanji selaku calon wakili parti memerintah di peringkat negeri dan Persekutuan, pihaknya akan membawa pembangunan malah mampu menyelesaikan masalah harian yang dihadapi oleh pengundi DUN Rantau.

MOHAMAD HASAN dan Khairy Jamaluddin serta calon-calon DUN yang
MOHAMAD HASAN dan Khairy Jamaluddin serta calon-calon DUN yang lain ketika diumumkan menang tanpa bertanding di dewan Sri Rembau pada PRU14 sebelum ini.- UTUSAN/ABD RAZAK AID 

PENCAPAIAN TOK MAT

Di sebalik itu, Mohamad dilihat turun padang berjumpa pengundi dengan mesej menyeru mereka menggunakan PRK itu untuk menyampaikan isyarat kepada Kerajaan Pusat bahawa rakyat pada dewasa ini tidak puas hati dengan kerajaan PH.

Mereka yang bukan sahaja gagal menepati janji-janji yang diberikan kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), malah terpedaya dengan janji-janji yang tidak mampu dilaksana mereka.

Tok Mat menggunakan prestasi atau track record beliau dalam membawa pembangunan kepada kawasan Rantau dan keseluruhan Negeri Sembilan sejak dipilih sebagai wakil rakyat DUN Rantau dan Menteri Besar dari tahun 2004 hingga Mei 2018 dalam mempengaruhi pengundi Rantau.

Meskipun pelbagai janji diberikan oleh calon-calon terutamanya yang mewakili kerajaan PH dalam PRK itu untuk melahirkan persepsi feel good, secara umumnya reaksi pengundi Rantau didapati bercampur-baur atau mix feelings.

Malah sebahagian besar pengundi Rantau terutamanya pengundi Melayu didapati bersikap acuh tak acuh terhadap pengumuman dan janji-janji calon serta pemimpin kerajaan PH.

Dalam pada itu, desas-desus yang tular dalam lingkaran media sosial kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kurang senang dengan PKR.

Malah ada pihak dalam PKR di kawasan setempat kurang senang dengan pemilihan calon PRK tersebut, menimbulkan pelbagai spekulasi akan wujud sabotaj yang dijangka menjejaskan saingan calon PH pada PRK tersebut.

MELAYU PENGUNDI TERBESAR

Apa pun, perlu ingat bahawa pengundi Melayu merupakan komposisi pengundi terbesar iaitu 51.75 % dalam DUN Rantau.

Pengundi bukan Melayu pula lebih kurang 46.34 % termasuk India sebanyak 27.53 % dan Cina, 18.81 %.

Memandangkan pengundi Melayu merupakan komposisi terbesar, maka peluang bagi calon yang memperoleh sebahagian besar undi Melayu dan sebahagian kecil pengundi bukan Melayu dijangka menang dalam PRK ini.

Calon BN bukanlah orang baharu malah pernah masak dengan sepak terajang politik dalam DUN Rantau. Tok Mat mengalahkan calon daripada PKR pada siri pilihan raya umum lepas.

Malah, Tok Mat pernah memperoleh 8,031 undi pada PRU-11 dan terus meningka jumlah undinya kepada 10,126 pada PRU-13.

Dengan prestasi cemerlang Tok Mat pada PRU-PRU yang lepas, peluang untuk beliau menawan DUN Rantau adalah lebih cerah berbanding lain-lain calon termasuklah daripada PH.

Memandangkan BN memenangi PRK berturut-turut di bawah kepimpinan Tok Mat selaku Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO iaitu PRK Parlimen Cameron Highlands, diikuti PRK DUN Semenyih, maka DUN Rantau dijangka menjadi milik beliau yang umumnya disebut sebagai a feather in a cap.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini