BANGKOK 1 April – Thai AirAsia akan menawarkan penerbangan dari Phuket ke Phnom Penh, Kemboja mulai 1 Jun depan sekali gus menjadikannya laluan antarabangsa kesembilan dari pulau itu bagi syarikat penerbangan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Santisuk Klongchaiya berkata, penerbangan langsung empat kali seminggu itu merupakan sebahagian pewujudan rangkaian Thai AirAsia merentasi Asia dengan pasaran Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam yang semakin berkembang baik, menurut sumber utama pelancongan Thailand.
Beliau berkata, Thai AirAsia merancang bagi membangunkan rangkaian destinasi kukuh demi menyediakan kemudahan lebih luas kepada pengembara supaya tidak perlu lagi singgah di Bangkok.
“Phuket adalah lokasi penerbangan strategik penting bagi AirAsia. Ia sedang berkembang kukuh seiring dengan penambahan penerbangan langsung ke bandar di Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam seperti Siem Reap.
“Susulan maklum balas positif yang diterima daripada pengembara antarabangsa, kami memutuskan untuk memperkenalkan laluan Phuket-Phnom Penh yang akan memberi perkhidmatan kepada pelancong dan komuniti perniagaan dari kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Thai AirAsia menawarkan penerbangan bagi lapan laluan antarabangsa dari Phuket, masing-masing ke Wuhan, Kunming, Hong Kong ( China); Macau (Taiwan); Siem Reap (Kemboja); Singapura; Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Penerbangan ke Phnom Penh akan ditawarkan pada setiap Isnin, Selasa, Jumaat dan Sabtu.
Sebagai sebahagian promosi bagi laluan ini, syarikat itu menawarkan tambang promosi mulai hanya 990 baht (RM127.34) sehala dengan tempahan tiket bermula hari ini hingga 14 April bagi perjalanan antara 1 Jun hingga 26 Oktober 2019. – BERNAMA











