Terpesona promosi 'luar biasa' peniaga benih padi haram - Utusan Malaysia

Terpesona promosi ‘luar biasa’ peniaga benih padi haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 5 April – Promosi agresif dan ‘luar biasa’ pihak yang menjual benih padi haram membuatkan ada sebilangan petani di negeri ini terpesona sekali gus memilih untuk menggunakan benih tersebut di sawah mereka.

Aimi Jusoh
Aimi Jusoh 

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Chetok, Datuk Aimi Jusoh berkata, mereka menguar-uarkan kepada petani bahawa kualiti benih padi haram adalah setanding dengan benih padi.

Katanya, ditambah dengan harga jualan yang lebih murah, perkara itu sudah pasti membuatkan para petani tertarik dan terpengaruh lalu membeli benih padi haram serta menggunakannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu lagi faktor ialah, bekalan benih padi sah dilaporkan sering terputus akibat jadual penanaman dan pengeluaran benih para petani yang tidak seiring. Apabila tiada bekalan, mereka tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan benih padi haram.

“Semua yang saya sebut ini berpandukan kepada maklumat yang kami kumpulkan sendiri,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penggunaan benih tidak sah yang berisiko membawa penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) bakal menjadi pemangkin kepada penyebaran penyakit tersebut ke tapak-tapak sawah seluruh negara.

Malah apa yang le­bih membimbangkan, se­hing­ga kini tiada racun kimia yang berkesan untuk tujuan kawalan sekali gus serangan serius di kawasan penanaman akan menyebabkan petani kehilangan hasil hampir 80 peratus.

Mengulas lanjut, Aimi berkata, kurangnya aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan oleh

pihak berkenaan turut menjadi penyumbang kepada perkara tersebut.

“Saya berpandangan pihak berkuasa tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dengan melakukan operasi bersepadu bagi membanteras perkara ini.

“Aspek pendidikan kepada petani perlu turut diberikan supaya mereka memahami kesan penggunaan benih yang tidak sah ini kepada tanaman diusahakan itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini