TEMERLOH 8 April – Seorang buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan bapanya dengan menggunakan besi pemotong buah sawit, Khamis lalu.
Tertuduh, M. Maheswaran, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memukul kepala K. Magendran, 54, di sebuah rumah di Kampung Labu, Kuala Krau di sini pada 5.45 petang, 4 April lalu.
Pendakwaan ke atasnya dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.
Pada prosiding itu, Maheswaran yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah mengurangkan jaminan RM8,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan kewangan.
“Saya hanya membantu di ladang dengan gaji sekitar RM450 sebulan,” katanya.
Nordiana kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April ini sebagai sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asyikin Nor Azhar. – BERNAMA











