KUALA LUMPUR 16 April – Syarikat permula niaga dalam bidang teknologi perlu memberikan keseimbangan terhadap pentingnya keselamatan siber, kata Kaspersky Lab.
Naib Presiden Jualan Global Maxim Frolov berkata, keselamatan siber perlu dilaksanakan dalam semua peringkat semasa pembangunan produk syarikat pemula niaga teknologi serta semasa mula melaksanakan dan melancarkan produk mereka ke pasaran.
“Nasihat saya, fahamilah asas keselamatan siber, tambah rakan kongsi yang memahami dan boleh menambah nilai mengenai fungsi sebenar, dan memilihnya (keselamatan siber) dalam operasi mereka,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Frolov berkata, keselamatan siber bukan sekadar mempunyai pelbagai lapisan keselamatan untuk penyelidikan dan reka bentuk, memandangkan pihak yang tidak bertanggungjawab masih akan dapat mencari rahsia perniagaan, sedangkan keselamatan siberlah sebenarnya yang akan melindungi operasi masa depan mereka.
Beliau berkata apa yang perlu difahami oleh setiap syarikat pemula niaga ialah keselamatan dalam pasaran akan terus dicabar, dan Lab Kaspersky bersedia membantu dalam bentuk pendidikan universiti, yang semakin mendapat daya tarikan di rantau ini.
Pengarah Urusan APAC, Stephan Neumeier berkata kebanyakan syarikat pemula niaga mempunyai tahap keselamatan yang terhad atau tiada langsung.
“Kami bekerjasama dengan mereka sebagai rakan pengeluar peralatan asal (OEM), dan cuba mendidik bahawa suatu hari ia akan digodam dan menjejaskan jenama dan perniagaan,” katanya.
Neumeier berkata penyelesaian keselamatan yang betul perlu disediakan sejak peringkat awal lagi, mungkin penyelesaian di peringkat OEM, yang lazimnya dilakukan oleh Kaspersky Lab. – BERNAMA











