KUALA TERENGGANU 1 April – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu kerajaan negeri memberi penekanan terhadap pembangunan seimbang antara daerah terutama Setiu, Hulu Terengganu dan Besut yang perlu diberi suntikan baharu kerana jumlah pendapatan isi rumah yang direkodkan pada tahun 2016 di ketiga-tiga daerah berkenaan masih lagi jauh ketinggalan.
Baginda mencadangkan agar pembangunan ekonomi di daerah tersebut dirancang berdasarkan kekuatan setempat khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan.
Justeru itu titah baginda, peruntukan yang mencukupi dan usaha berterusan hendaklah dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, pemulihan tanah terbiar dan memperkasakan bidang pertanian.
Sulan Mizan turut menyentuh mengenai projek pembinaan jambatan angkat (drawbridge) bernilai RM248.73 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini yang mampu menyuraikan aliran trafik dari pusat bandar Kuala Terengganu ke Kuala Nerus bahkan, ikon baharu pelancongan negeri itu dapat mengatasi masalah kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud pada waktu puncak.
“Beta difahamkan kemajuan fizikal pembangunan Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus dan juga pembangunan infrastruktur di Bandar Baharu Kijal, Kemaman Fasa 2 berjalan lancar dan mendahului jadual.
“Beta yakin kedua-dua projek ini apabila siap nanti akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan dan ekonomi penduduk di kawasan sekitar,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. – UTUSAN ONLINE











