SINGAPURA 8 April – Seramai 24 pelajar Sarjana Sains Pengurusan Pembinaan Bersepadu (ICPM), Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Shah Alam dan tiga pensyarah iaitu Dr. Rumaizah Mohd Nordin, Ir. Abdul Aziz Abas dan Masnizan Che Mat mengadakan lawatan sambil belajar ke Singapura selama dua hari pada 4 April lalu.
Program itu membolehkan para pelajar mengkaji dengan lebih terperinci sistem pengangkutan, teknologi serta kaedah pembinaan terkini dalam pembinaan infrastruktur.
Dengan tema “Connecting ASEAN”, Singapura telah dipilih sebagai negara lawatan kerana ia terkenal sebagai hab infrastruktur untuk negara-negara ASEAN.
Antara lokasi yg dilawati adalah Land Transport Authority Singapore, agensi kerajaan yang mengawal selia pembangunan infrastruktur Singapura selain lawatan ke Marina Barrage bagi mendapatkan maklumat mengenai kaedah pembinaan moden serta mapan.
Selain itu juga, peserta program tersebut juga telah melawat National University of Singapore (NUS), salah satu universiti ersohor di Asia bagi mendapatkan maklumat berkaitan sistem pengangkutan di Singapura dan membina hubungan dua hala universiti tempatan serta luar negara.
Peserta lawatan telah disambut oleh Dr. Wang Qian dari Department of Building, School of Design & Environment, NUS serta diberi taklimat oleh Prof. Dr. Low Sui Pheng.
Peserta rombongan juga dibawa melawat Net-Zero Energy Building yang merupakan bangunan pertama cekap tenaga di dunia seumpamanya.
Lawatan ke Kota Singa memberi pelbagai manfaat dalam menambah pengetahuan dan kebolehan pelajar berkaitan pembinaan infrastruktur dan teknik terkini dalam sektor pembinaan. – UTUSAN ONLINE











