MENJADI penantian rakyat kedua-dua negara berjiran ini hasil dari Sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung di Putrajaya Selasa lalu kerana terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan pendapat yang timbul sejak kebelakangan ini.
Walaupun ada yang berpendapat senario sebegini adalah lumrah bagi negara berjiran tetapi hubungan unik Malaysia dan Singapura membuatkan rakyat berasa agak gelisah.
Masakan tidak apabila Menteri Luar kedua-dua negara berbalas kenyataan dalam media untuk menyanggah rakan sejawat, situasi sebegini dianggap terlalu panas. Jika tidak dikawal, ia mampu membakar semangat patriotisme negara masing-masing.
Tetapi agak melegakan apabila kedua-dua pemimpin tertinggi iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam sidang akhbar selepas pemukiman menegaskan isu paling sensitif iaitu harga kadar air yang terkandung dalam Perjanjian Air 1962 akan diselesaikan dalam semangat setia kawan.
“Ini termasuk kemungkinan penyelesaian melalui arbitrasi berasaskan kepada dasar yang dipersetujui bersama,” tambah Dr. Mahathir lagi.
Mungkin ada yang agak sinis dan berpendapat kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut tidak spesifik dan begitu umum.
Kemungkinan persepsi tersebut timbul kerana pada pendapat mereka Singapura jarang sekali mempamerkan sikap setia kawan negara berjiran. Kemungkinan juga perasaan sedemikian wujud terhadap Malaysia oleh rakyat Singapura dan situasi sebegini dianggap tidak pelik kerana rakyat negara berlainan punya pandangan masing-masing.
Tetapi jika ditinjau dua persetujuan utama yang dicapai beberapa hari sebelum pemukiman berlangsung, maka tidak keterlaluan dikatakan semangat setia kawan antara Malaysia dan Singapura sememangnya wujud dan bukannya sikap berpura-pura.
Penyelesaian pertama ialah persetujuan Singapura untuk menarik balik pelaksanaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar dan Malaysia sebagai mempamerkan sikap setia kawan telah menggantung penguatkuasaan kawasan larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang.
Pertikaian kedua yang diselesaikan buat sementara ialah mengenai tuntutan bertindih ke atas had pelabuhan kedua-dua negara dan kembali kepada status quo had pelabuhan masing-masing yang berkuatkuasa sebelum 25 Oktober dan 6 Disember tahun lepas.
Menariknya adalah pertikaian penggunaan ILS diselesaikan di peringkat menteri sementara isu had pelabuhan hanya memerlukan peringkat pegawai kanan dalam mencari penyelesaian walaupun dalam terma sementara.
Tetapi perlu diberi perhatian penyelesaian sementara yang dicapai mengenai isu ILS dan had sempadan pelabuhan mempunyai persamaan dari segi strategi yang tidak dimiliki oleh isu kadar air.
Mengapa dihujahkan demikian adalah apabila Singapura mengumumkan penggunaan ILS di Lapangan Terbang Seletar pada Disember lalu, Malaysia mengumumkan penamatan sementara RA Pasir Gudang yang sedikit sebanyak mengehadkan penggunaan ILS.
Begitu jua apabila Malaysia mengumumkan had baharu pelabuhan Johor Bahru pada 25 Oktober lalu, Singapura dalam tindak balas mereka mengumumkan had pelabuhan Tuas yang baharu dan bertindih pula dengan had pelabuhan Johor Bahru.
Sebab itu ada berpendapat mengapa penyelesaian boleh dicapai dalam kes ILS dan sempadan pelabuhan adalah kedua-duanya mempunyai kekangan yang membantutkan usaha kedua-dua negara menerus niat masing-masing.
Tetapi dalam kes penentuan kadar harga air, tidak timbul isu kekangan kerana jika Singapura mengambil sikap berdolak-dalik atau cuba melengahkan rundingan, Malaysia tidak boleh membuat tindak balas seperti menyekat bekalan air.
Malaysia mungkin boleh menggunakan strategi kegusaran Hsien Loong mengenai keupayaan Sungai Johor membekalkan secara berterusan 250 juta gelen air mentah sehari kepada Singapura seperti termaktub dalam perjanjian air.
Ini adalah kerana pada 4 April lalu bekalan air dari Johor ke Singapura terganggu buat sementara apabila Sungai Sayong tercemar bahan kimia ammonia yang memaksa Agensi Air Singapura (PUB) menghentikan operasi rawatan air.
Mungkin Hsien Loong cuba memberi isyarat kepada Malaysia sebelum berunding kadar yang baharu, sepatutnya isu pencemaran ditangani kerana jika tidak Malaysia boleh dituduh gagal melunaskan terma perjanjian.
Atau pun sebaliknya Malaysia boleh menggunakan kegusaran Hsien Loong untuk memberi persepsi bahawa dana tambahan melalui kadar harga air yang lebih logik diperlukan oleh Kuala Lumpur untuk memastikan sungai di Johor tidak tercemar.
Iktibarnya adalah dalam berurusan dengan Singapura, Malaysia memerlukan strategi kekangan seperti dalam kes ILS untuk memaksa Singapura menjadi jiran setia kawan.










