Satu demi satu kontroversi menerpa dalam hidupnya, ada yang berpendapat ini mungkin petanda untuk dia meninggalkan sahaja dunia lakonan.
Tidak perlu lagi baginya untuk terus berada dalam gelanggang seni sekiranya terus dipalit dengan pelbagai isu negatif.
Namun mempunyai misi yang berbeza dalam kehidupan, bagi Fathia Latiff ini waktu yang baik
untuk dia bermula kembali.

Tidak mahu gopoh mencari langkah untuk kembali menakluki dunia lakonan, kata pelakon drama Ariana Rose ini, dia sudah cukup bersyukur untuk terus diberikan peluang.
“Saya akui rezeki bukan lagi dalam bidang lakonan, namun saya cuba mencari alternatif berbeza untuk terus menggunakan peluang yang masih ada. Sebenarnya tawaran masih ada dan ini menjelaskan saya tidak pernah meninggalkan dunia lakonan.
“Cuma buat masa ini, saya sudah mewujudkan program khas yang dikelolakan sendiri melalui laman sosial. Ia sebuah program santai yang memaparkan makanan.
“Apa yang membuatkan saya bersyukur apabila masih mempunyai pengikut dalam laman sosial yang secara tidak langsung memberi peluang untuk saya meneruskan kerja-kerja yang saya suka,” katanya.
Tidak mahu lagi berkongsi kesilapan lalu, bagi Fathia, ketika ini dia lebih senang sekiranya apa yang sudah dilaluinya hanya menjadi kisah hidup yang mendewasakannya.
Mengakui apa yang berlaku itu sebagai kesilapan, kongsi Fathia, dia tidak pernah menyalahkan mereka di luar sana yang memilih untuk terus menghentamnya dengan pelbagai kata cercaan.
“Apa yang sudah berlaku saya tidak mahu lagi ungkit. Saya akui kesilapan dan mahu meneruskan kehidupan saya ke arah yang lebih baik kini.
“Bila membaca komen-komen kasar yang ditinggalkan pengikut dalam laman sosial, bagi saya tiada sebab untuk saya melenting. Kerana saya yakin apa yang ditulis mereka itu melambangkan kekecewaan mereka ke atas diri saya.
“Sebelum ini saya tidak pernah ambil tahu bagaimana seorang artis mempunyai pengaruh ke atas peminat dan bagaimana kami dijadikan idola. Jadi bila saya lakukan kesilapan tentunya mereka kecewa.
“Sebab itu saya yakin apa yang ditulis mereka itu sebagai satu bentuk pesanan untuk saya. Sekali gus memerlukan saya ambil setiap kata-kata mereka sebagai teguran ke atas kesilapan yang saya lakukan selama ini,” jelasnya lagi.
Bertudung

Ketika mereka di luar sana terus mempertikaikan tahap keikhlasannya untuk berubah, Fathia nampaknya lebih senang untuk terus membuktikannya dengan penampilan diri.
Jelasnya, ketika ini dia akan terus mengenakan tudung kerana yakin ini adalah senjata utamanya sebagai seorang wanita.
“Saya tidak mahu menghakimi mereka yang memilih untuk tidak mengenakan tudung. Bagi saya apa yang dilalui setiap dari kita berbeza, jadi tidak adil untuk kita melontarkan pendapat.
“Cuma untuk saya sendiri kalau boleh memang saya mahu terus tampil dengan imej bertudung sampai bila-bila memandangkan ini adalah cerminan untuk wanita Islam di luar sana.
“Saya akui bukan mudah sebenarnya, dalam keadaan saya bermula sebagai seorang yang tidak mengenakan tudung dalam industri ini. Sebab itu saya minta doa dan kekuatan dari mereka di luar sana agar saya kekal dalam pilihan untuk bertudung,” jelasnya lagi.
Sementara itu, terus berusaha dalam mengubah ekonomi diri, ketika ini Fathia sibuk mempromosikan tudung terbaharunya.
Mahu dikenali dengan jenama Nona Manis, kongsi Fathia, ini adalah jihadnya dalam dunia perniagaan.
“Kali ini pengeluaran tudung ini dibuat oleh saya 100 peratus. Dari segi material dan corak juga dipilih oleh saya sendiri.
“Terdapat dalam beberapa variasi dan sasaran saya tudung ini juga akan dijual pada Ramadan nanti. Buat masa ini ia dijual melalui laman sosial sahaja,” katanya.
Jangan buat silap yang sama

Mengenang kembali apa yang pernah dilalui dahulu sebagai antara pelakon paling popular, kata Fathia, kehidupan ketika itu cukup indah.
Dia mengakui tidak tahu kesilapan diri memandangkan lalai dengan apa yang dimiliki.
“Sukar saya mahu jelaskan tetapi apa yang saya dapat ketika itu hanya pujian sehingga saya sendiri tidak tahu apa yang saya lakukan itu salah. Saya fikir apa yang saya miliki termasuk
kemewahan dan populariti akan kekal selama-lamanya.
“Ia membuatkan saya lalai dengan apa yang dimiliki. Bayangkan bila kita berada di atas, kita kadang-kadang lupa untuk melihat ke bawah dan apabila saya diuji baru saya faham apa yang berlaku ini sebagai cara untuk membetulkan kembali kehidupan saya,” katanya.
Melihat rakan artis lain melalui kehidupan yang sama sepertinya dahulu, tiada sekelumit rasa cemburu yang mahu dikongsinya.
Jelasnya, ketika ini dia hanya mahu menghargai peluang yang ada, namun dalam masa sama tidak mahu rakan-rakannya turut terjerumus dalam kesilapan yang sama.
“Bila saya tengok kembali dunia yang pernah dilalui, apa yang boleh saya kata segala apa yang mereka ada juga pernah saya miliki. Jadi perkara-perkara seperti populariti dan dunia glamor tidak akan bertahan lama, jadi jangan lakukan kesilapan yang sama.
“Jika mereka mahu menjadikan saya contoh tidak mengapa kerana apa yang boleh saya katakan ketika ini bukan senang. Rasanya sangat perit untuk melepasi fasa yang boleh saya anggap paling bawah dalam kehidupan saya ini,” kongsinya.
Tidak melihat perkahwinan sebagai titik permulaan untuk kehidupan yang lebih baik, kongsi Fathia, walaupun dirinya kini masih kosong tanpa cinta, namun itu tidak bermakna dia perlu terburu-buru dalam mencari seorang lelaki.
“Saya tidak melihat perlunya seorang lelaki mengubah saya menjadi lebih baik. Dalam keadaan ini saya lebih senang untuk memberikan fokus kepada diri sendiri sahaja.
“Dalam tempoh dua tahun ini memang saya pernah didekati lelaki tetapi dalam keadaan sekarang saya lebih mengenali diri saya dan apa yang saya mahu dalam sesebuah hubungan,” jelasnya.











