KUALA LUMPUR 10 April – Platform beli-belah atas talian ShopBack berjaya memperoleh AS$45 juta (RM184.6 juta) dalam pusingan dana terbaharunya daripada pelabur-pelabur baharu termasuk EV Growth, RakutenCapital, EDBI serta pelabur sedia ada, menjadikan pembiayaan keseluruhan syarikat sebanyak AS$83juta (RM340.42 juta).
Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Alvin Gill berkata, pusingan dana baharu itu akan digunakan untuk memudahkan pengalaman membeli-belah, memperluaskan keupayaan data untuk menjana personalisasi dan perniagaan lebih mendalam serta mempercepatkan pertumbuhan di pasaran utama.
Katanya, syarikat akan terus memberi fokus dalam membangunkan ganjaran dan fungsi penemuan untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian untuk pengguna merentasi Asia Pasifik.
“Dana baharu ini memberi lebih kuasa bagi usaha inovatif kami untuk memudahkan pengalaman membeli-belah pengguna sambil membina penyelesaian pemasaran pintar untuk rakan peniaga.
“Kami kini dilengkapi lebih baik bukan sahaja dengan menyampaikan jualan kos efisien kepada rakan peniaga, tetapi juga memanfaatkan data pengguna lebih mendalam merentasi kategori untuk jualan silang yang lebih efisien,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan pelaburan baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ebates Inc., Amit Patel dan Rakan Pengurus EV Growth, Willson Cuaca akan menyertai Lembaga Pengarah ShopBack.
Gill berkata, dengan kehadiran di pasaran Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Taiwan dan Australia, ShopBack telah bekerjasama dengan peniaga e-dagang terkemuka sejak 2014 dan memberi ganjaran kepada pengguna dalam betuk pulangan tunai setiap kali mereka membeli-belah melalui ShopBack.
“Pada 2018, ShopBack melihat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 250 peratus dalam tempahan dan jualan. Syarikat telah memperkasa lebih 1.5 juta tempahan bulanan untuk lebih tujuh juta pengguna di tujuh negara Asia Pasifik, menyalurkan hampir AS$1 bilion (RM4.1 bilion) kepada lebih 2,000 rakan peniaga dalam talian.
“Dalam tahun yang sama, ShopBack mula bertapak di Australia, pasaran pertamanya di luar Asia. Ia turut membuka hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Vietnam dan Taiwan, memacu peningkatan tiga kali ganda dalam mengumpul tenaga kerja Kejuruteraan, Data dan Pengurusan Produk,” katanya. – UTUSAN ONLINE











