PUTRAJAYA 1 April – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub tidak akan campur tangan berhubung penahanan Setiausaha Politiknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Salahuddin berkata, beliau akan membiarkan perkara itu diadili oleh undang-undang dan Setiausaha Politiknya juga sama seperti rakyat Malaysia yang lain iaitu tertakluk kepada undang-undang.
“Saya telah dimaklumkan Setiausaha Politik saya telah ditahan pada hari ini oleh pihak SPRM untuk siasatan.
“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya. Beliau juga seperti rakyat Malaysia yang lain yang tertakluk kepada undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Salahuddin, beliau berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang serta yakin dan percaya bahawa SPRM akan menyiasat kes itu dengan adil dan bebas.
Terdahulu, SPRM hari ini menahan seorang Setiausaha Politik kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.
Menurut sumber, lelaki berumur 47 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 5 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.
Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan sebuah kementerian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek pagi esok di Mahkamah Majistret di sini. – UTUSAN ONLINE











