NAIROBI 17 April – Polis Kenya diperbodohkan selepas penjenayah mencuri senjata api dan peluru di sebuah pondok pengawal sewaktu anggota yang sedang bertugas leka menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Sebanyak tiga laras senapang dan hampir dua dozen peluru dicuri daripada pondok pengawal pada malam Selasa (pagi Rabu waktu Malaysia) di Nandi, barat Kenya, sewaktu anggota polis berkenaan leka menonton perlawanan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang beraksi pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di kaca televisyen berhampiran sebuah pusat membeli-belah.
Memetik laporan polis, AFP difahamkan, sebaik kembali ke pondok pengawal, anggota polis terlibat mula sedar bilik yang menyimpan senjata telah dipecahkan.
Siasatan masih lagi dijalankan bagi mencari senjata dan peluru yang hilang itu. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada anggota polis berkenaan dikenakan tindakan disiplin ataupun tidak.
Kelab Belanda, Ajax melakar kejutan ke atas Juventus untuk mara ke separuh akhir, manakala, Messi membantu Barcelona membenam Manchester United pada perlawanan suku akhir kedua tersebut.
Bola sepak, khususnya pertandingan di peringkat elit Eropah, cukup popular di Kenya dan seluruh benua Afrika. – AFP











