Selangor main macam budak tadika - Sathia - Utusan Malaysia

Selangor main macam budak tadika – Sathia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA Jurulatih Selangor, B. Sathianathan mengkritik aksi longlai anak-anak buahnya yang dianggap bermain seperti ‘budak tadika’ selepas tersingkir daripada kancah Piala FA 2019 susulan kekalahan mengejut 1-2 kepada Felda United dalam aksi pusingan ketiga di Stadium Shah Alam kelmarin.

Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah terlebih dahulu mendahului perlawanan dengan jaringan Syahmi Safari sebelum pasukan The Fighters bangkit dengan dua gol menerusi Thiago Junior Aquino dan Hadin Azman.

Menurut Sathianathan, strategi dan taktikal yang diarahkan kepada barisan pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan serba tidak menjadi manakala kerapuhan di bahagian benteng pertahanan turut menjadi punca kekalahan pada kali ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya lihat pemain beraksi se­perti budak tadika. Kita sudah ada peran­­ca­ngan untuk mengharungi aksi bertemu Felda memandangkan kita pernah dikecewakan oleh pasukan ini pada aksi Liga Super awal musim lalu.

“Mereka hanya melakukan sera­ngan balas pantas dan ia terjadi sekali lagi pada perlawanan ini. Pemain kami cuba untuk melakukan serangan tetapi mudah dipatahkan kerana mereka hanya bijak melakukan gerakan solo yang tiada penyudah.

“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan kerana buat masa ini saya tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain khususnya tonggak import kami. Mungkin akan ada rombakan pada jendela pendaftaran nanti, tetapi ia bukan terletak di tangan saya.

“Apa yang pasti, saya harap pemain dapat fokus pada baki saingan Liga Super serta kempen Piala Malaysia musim ini memandang­kan sasaran awal yang diletakkan kepada saya adalah untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala bersama Selangor,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Pasukan Merah Kuning yang merupakan finalis Piala FA tahun lalu akan mengalihkan tumpuan pada saingan Liga Super menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini