KUALA LUMPUR 18 April – Orang ramai berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik sempena Hari Bumi Kuala Lumpur 2019 di Taman Persekutuan Bukit Kiara atau juga dikenali Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini, Sabtu ini.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk ‘trail walk’ melalui rangkaian denai rimba Bukit Kiara dan aktiviti untuk kanak-kanak iaitu pengenalan ekologi dan spesies hidupan sungai melalui ‘educational river walk’ oleh Global Environment Centre.
Friends of Bukit Kiara dalam laman sosial Facebook memaklumkan, pihaknya berharap orang ramai dapat bersama-sama menyertai program itu dan menikmati alam semula jadi dalam suasana yang nyaman dan menyegarkan.
“Rebutlah peluang pembelajaran yang akan disediakan di tapak pameran yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang sepanjang sambutan Hari Bumi Kuala Lumpur 2019 ini,” katanya.
Tambahnya, pihaknya meminta pengunjung membawa bekas makanan dan minuman yang boleh diguna semula bagi mengurangkan sisa buangan demi menyelamatkan alam semulajadi.
Selain itu, orang ramai turut berpeluang merebut hadiah bertuah dengan mengisi borang kaji selidik di https://forms.gle/wJRcc9QXJ8qQditR7. – UTUSAN ONLINE











