KUALA LUMPUR 12 April – Saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) kembali mengukuh pagi ini, selepas susut 4.13 peratus petang semalam.
Setakat 11.40 pagi ini, ia melonjak 20 sen kepada RM12.26 sesaham dengan 4,295,300 saham bertukar tangan.
Ketika ditutup semalam, saham TNB susut sehingga 52 sen kepada RM12.06 sesaham susulan laporan Bloomberg yang pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menjual saham TNB menerusi penempatan saham bagi meraih RM1.05 bilion.
Bursa Malaysia semalam susut 15.23 mata kepada 1,624.23 mata menjadikannya jatuh ke paras terendah dalam tempoh 52 minggu.
Bagaimanapun, setakat pagi ini, ia mengukuh 2.56 mata kepada 1,626.79 mata.
Menurut Penasihat Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli, kejatuhan kepada pasaran semalam adalah disebabkan penjualan oleh pelabur asing terutama terhadap saham TNB.
Selain itu, ia juga disebabkan ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah termasuk jangkaan penguncupan ekonomi dunia yang diunjur oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). “Melihat kepada pergerakan indeks FBM KLCI, kita dapati terdapat paras sokongan yang kuat pada indeks FBM KLCI di sekitar 1,620 mata buat masa ini dan seterusnya pada kedudukan 1,600 mata yang juga merupakan paras sokongan saikologi. “Jika indeks tidak dapat bertahan pada kedudukan ini, maka paras sokongan seterusnya adalah pada sekitar 1,500 mata dan jika ini berlaku maka pemulihan semula terhadap pasaran dijangka akan memakan masa yang agak lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










