KESUNYIAN menjalani kehidupan sebagai wanita solo mendorong dirinya untuk merancang sesuatu demi masa depannya. Cukuplah tempoh lebih setahun menyepi selepas berpisah dengan bekas suami, Adam Fahmy Shamsudin. Kini dia perlu lebih berfikir tentang nasib diri sendiri.
Penyanyi Ezlynn perlu bangkit daripada kegagalan terdahulu. Segala kekhilafan perlu dijadikan sempadan dalam menempuh misi untuk mencari pasangan baharu. Kembali membuka pintu hati adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu bersendirian agar ia tidak timbul lagi.
Atas sebab itu, penyanyi yang semakin popular dengan lagu Goyang ini dilihat semakin terbuka tentang soal yang satu itu beberapa bulan kebelakangan ini. Tambahan pula selepas dia mendapat lamaran daripada banyak lelaki yang menyatakan hasrat untuk mengenalinya dengan dekat.

Boleh dikatakan, ‘saham’ wanita ini semakin menjadi-jadi selepas itu. Lamaran demi lamaran diperoleh daripada lelaki yang ingin mendekatinya. Begitu juga keadaannya apabila dia memberi peluang kepada seorang lelaki yang dirahsiakan identitinya baru-baru ini.
Mengharapkan hubungan mereka pergi jauh selepas mengenali rapat bagaimanapun apakan daya. Dia perlu terima hakikat yang mereka tidak boleh pergi jauh disebabkan isu pegangan agama antara mereka.
“Benar saya sedang berkawan rapat dengan lelaki itu. Tetapi saya realistik dan tidak mengharapkan hubungan ini mencapai matlamat yang dikehendaki. Banyak masalah yang akan timbul jika kami bersatu kelak.
“Tambahan pula ia membabitkan perbezaan agama. Saya tidak mahu dia bertukar agama kerana cintakan saya semata-mata. Lebih baik kalau dia yang dengan rela hati melakukannya atas dasar cintakan agama,” katanya mengulas cerita peribadi.
Pun begitu, wanita ini tidak kecewa dengan apa yang terjadi. Dia tidak boleh berputus asa dalam hal membabitkan pengganti kerana dia percaya pasti bertemu dengan Mr. Right idamannya satu masa nanti.
Apa yang perlu dilakukan pelakon filem Bilut ini adalah berdoa agar impiannya itu menjadi kenyataan satu masa nanti. Tolak ke tepi, latar belakang dan susuk tubuh bakal kekasih, yang penting dia lelaki yang matang dan pandai mengimbangkan antara hal dunia dan akhirat.
“Saya tidak mahu hidup tua tanpa ada suami dan keluarga sendiri. Keinginan saya juga jelas dalam usaha mendapatkan pasangan hidup yang terbaik selain melahirkan zuriat sendiri,” ujarnya.
Ezlynn berkahwin dengan Adam yang juga bekas pengurus peribadinya pada 20 November 2011 sebelum bercerai pada Oktober 2017. Pasangan itu tidak dikurniakan anak sepanjang perkahwinan tersebut.
Kumpul dana
SEJAK kebelakangan ini, tidak dinafikan semakin ramai golongan selebriti membela nasib golongan yang memerlukan. Ezlynn antara 40 selebriti tanah air yang membantu mengumpul dana membiayai kos pusat latihan serta keperluan anak-anak istimewa sindrom down.
Untuk tujuan itu, Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal Anas Abdullah Kuala Lumpur menganjurkan Fesyen Vaganza Amal 2019 Sindrom Down pada 20 April ini.
Acara amal itu bakal diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur ini yang turut melibatkan pembabitan artis dan anak-anak istimewa itu dalam pertunjukan fesyen. Sebuah persembahan istimewa bersempena majlis berkenaan bakal diadakan..
“Saya sentiasa menyokong usaha yang dibuat oleh mana-mana pihak yang memperjuangkan nasib golongan insan istimewa ini. Ia akan menjadikan diri kita lebih tunduk ke bumi apabila mengenang nasib mereka,” katanya.
Selain Ezlynn, antara artis yang terbabit ialah Erra Fazira, Datin Seri Umie Aida, Sharifah Shahora, Afieq Shazwan, Wani Kayrie, Azura Aziz, Nor Albaniah dan ramai lagi.
Memang jahat!
Berkongsi cerita pengalaman pahitnya berdepan dengan kerenah warganet yang berkata buruk tentang nasib dirinya, Ezlynn mengakui dia tidak akan berkompromi dalam perkara tersebut.
Tidak akan memadamkan kata-kata jahat serta menyekat pengguna laman sosial, penyanyi lagu Jikalau Aku ini sebaliknya berhasrat untuk mengajar golongan itu dengan caranya tersendiri.
Dia mahu semua individu terbabit bertanggungjawab atas setiap kata-kata yang dilemparkan dan menanggung dosa dengan tindakan dilakukan. Ezlynn juga tidak akan memaafkan mereka selagi tiada permohonan maaf dibuat di medium yang sama.
“Saya memang jahat dalam perkara ini. Selagi saya terluka, mereka akan berterusan menanggung dosa kerana berkata buruk tentang saya. Biarkan saja di medium itu sampai bila-bila pun, saya langsung tidak akan terkesan,” ujarnya.
Jangan hubungi dia
Dengar cerita ada penganjur mengadu pernah menjemput Ezlynn ke majlis tetapi awak tak ada. Tup tup yang muncul bekas suami, betul ke?
Ezlynn : Itulah dilema paling besar sedang saya hadapi sekarang. Ramai masih menyangka dia pengurus saya. Lebih malang lagi apabila masih ramai pihak menghubungi dia untuk akses kepada saya. Sedangkan kerjaya seni saya tidak lagi diuruskan oleh dia sejak bercerai. Urusan kerja saya kini diambil alih pihak Warner Music.
Kekeliruan itu membabitkan kerugian bagi pihak Ezlynn tak?
Ezlynn : Sudah pasti tapi ia membabitkan keyakinan setakat ini. Yang tentang wang ringgit saya tidak pasti kerana masih belum ada membuat aduan lagi. Paling saya bimbang jika dia mengambil kesempatan terhadap setiap pihak berkepentingan yang pernah berurusan dengan saya sebelum ini. Mana tahu ada perjanjian dibuat di luar pengetahuan saya.
Apa tindakan awak sekarang?
Ezlynn : Segala-galanya saya serahkan kepada pihak Warner Music untuk tindakan lanjut. Cuma sekarang ini, saya merayu agar semua pihak jangan menghubungi dia lagi untuk sebarang kerja membabitkan saya. Dia sudah tidak ada kena mengena dengan saya lagi.











