KUALA LUMPUR 7 April – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam kerja-kerja sosial, Animal For Young memperkenalkan robot pertama di dunia yang direka bagi membantu memulihkan pesakit Autisme.
Pengasas Animal for Young, Dr E. Joon Khew, robot yang diberi nama sebagai Leka itu direka khas selepas mengambil kira sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada 2 April lalu yang bertemakan Teknologi Penolong, Penyertaan Aktif.
“Leka adalah mainan pintar yang dapat merevolusikan peranan ibu bapa, ahli terapi, dan anak-anak dalam menghadapi gangguan spektrum autisme serta gangguan perkembangan yang menjejaskan satu daripada 68 kanak-kanak di negara ini.
“Leka merupakan permainan untuk anak-anak yang dapat mengajar autonomi dan meningkatkan kemahiran selain memupuk emosi kecerdasan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Joon Khew, Leka boleh dimiliki pada harga RM8,000 , yang mana permohonan dan program akan turut disediakan kepada guru, penjaga atau ibu bapa untuk menggunakannya.
Katanya, dengan warna yang berbeza, getaran dan wajah yang comel, Leka akan menjadi mainan keseronokan setiap hari.
“Ia adalah set permainan pintar pelbagai deria, dibangunkan untuk mereka yang mengalami autisme atau gangguan perkembangan lain. Ia sangat membantu penggunanya berinteraksi, belajar, dan memperkaya kehidupan mereka,” katanya.
Tambah beliau, sebarang maklumat lanjut berhubung Leka boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 011-10140828 atau e-mel di [email protected]. – UTUSAN ONLINE











