“JANGAN balik ke Rantau untuk mengundi dan susahkan orang tua di kawasan ini,” demikian rungutan warga emas, Samsudin Dolah, 62, yang ditemui di sebuah restoran di Taman Angsamas, Rantau baru-baru ini.

Cerita Samsudin, pengundi yang tinggal di luar terutama golongan muda menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Tambahnya, gara-gara undi mereka, penduduk sepertinya terpaksa menanggung masalah di bawah kerajaan baharu.
“Sekarang dah tak macam dulu, nak dapat duit bantuan (Bantuan Sara Hidup), mereka minta macam-macam. Susah sangat kerajaan nak beri. Banyak lagi janji yang tak ditunaikan Pakatan Harapan (PH).
“Budak-budak muda ini masa PRU-14, balik kampung bersemangat nak kalahkan BN. Selepas itu mereka balik semula ke Kuala Lumpur bekerja, tinggallah kami di kampung yang dapat susah,” katanya lagi.
Rungutan Samsudin itu mungkin boleh menjadi ingatan buat pengundi muda yang bekerja di luar kawasan ini dan akan pulang ke Rantau untuk mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Rantau, Sabtu ini.
Orang muda biasanya ‘darah panas’. Cepat membuat keputusan tanpa berfikir panjang tentang akibatnya. PRU-14 sudah menjadi bukti, ramai menyesal dengan pilihan mereka.
Bagaimanapun, sejak 11 bulan lalu, mereka kecewa kerana janji mansuh hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol, turunkan harga minyak dan satu juta peluang pekerjaan, belum jadi kenyataan.
Sebab itu anak muda kembali ‘panas’. Mereka paling kecewa dan rasa ditipu. Sejak PRK Cameron Highlands dan disusuli Semenyih, mereka panas hati terhadap pihak yang menabur janji-janji tersebut. Natijahnya, dalam dua PRK itu, PH kena ‘pangkah’ dengan pengundi terutama golongan muda.
Ramai yang tidak faham dengan gelombang ketika ini. Semalam sokong PH, hari ini BN. Hakikatnya, pemikiran pengundi sudah berbeza, mereka buang sesiapa sahaja yang tak disukai.
Kegagalan kerajaan menyebabkan tsunami kemarahan terhadap BN sudah mula beralih kepada PH pula. Kalau semasa PRU-14, pengundi muda balik mengundi untuk menaikkan PH, kali ini situasi sebaliknya dijangka berlaku di Rantau.
Rantau mempunyai 7,589 orang atau 36.26 peratus pengundi belia berumur bawah 39 tahun daripada keseluruhan 20,926 pemilih berdaftar. Ia kelompok besar mewakili lebih 1/3 pengundi dan mempunyai signifikan kepada keputusan PRK Rantau nanti.
Sebelum ini mereka ‘ditakuti’ BN dalam setiap pilihan raya kerana bersikap anti-establishment, bagaimanapun perkara itu sudah berubah. Tidak mengejutkan kalau trend itu berulang di Rantau dan PH akan kena pangkah lagi dengan pengundi buat kali ketiga berturut-turut selepas Cameron Highlands dan Semenyih. – UTUSAN ONLINE










