REMBAU 10 April – Janji yang gagal ditunaikan sebelum menang dalam pilihan raya dan tingkah laku selepas menjadi kerajaan adalah penilaian terbaik kepada rakyat ketika membuat pertimbangan pemimpin seterusnya yang hendak mereka pilih.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kedua-dua faktor itu boleh menjadi asas kepada mereka membuat pilihan lebih baik dan mengelak daripada melakukan kesilapan seperti pada masa lalu.
Katanya, janji seperti menurunkan harga minyak, menghapuskan pinjaman pendidikan, menghapuskan sistem cukai dan menghapuskan tol sehingga kini masih belum ditunaikan.
“Macam-macam janji yang pernah diberi tidak ditunaikan, adakah kita hendak beri lagi peluang?
“Ditambah lagi dengan macam-macam kenyataan daripada pemimpin yang bukan saja menimbulkan kekeliruan malah sehingga menjadi bahan lawak rakyat,” katanya dalam ceramah di Felda Sendayan dekat sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.
Jamil berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum lalu akibat mainan sentimen yang keterlaluan bagi menimbulkan kemarahan rakyat hingga mereka keluar mengundi berdasarkan emosi.
Beliau menceritakan satu peristiwa ketika hendak membeli satu unit televisyen di pekan Yan, Kedah tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Apabila bertanyakan harga televisyen itu, penjual itu kata RM1,000 dan ditambah RM60 sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang hendak diberi Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri ketika itu).
“Jawapan ini diberikan dengan penuh emosi tetapi hari ini kita sedar bahawa harga barangan tetap tidak turun walaupun kerajaan menghapuskan GST dan memperkenalkan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











