SEREMBAN – Pepatah ‘selagi nyawa dikandung badan’ adalah definisi tepat menggambarkan semangat seorang pengundi warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Lijah Ismail, 98, untuk keluar mengundi Sabtu ini.
Warga emas yang bakal menjadi seorang sentenarian (individu berumur 100 tahun dan lebih) itu berkata, beliau tidak pernah terlepas untuk keluar mengundi dalam semua pilihan raya di kawasannya sebelum ini dan baginya tiada pengecualian untuknya menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau Sabtu ini.
“Saya sudah keluar mengundi sejak sekian lama, sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Saya akan keluar mengundi Sabtu ini dengan bantuan anak-anak,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Kelab Tuanku, di sini.
Ketika ditanya rahsia beliau untuk kekal bertenaga meskipun akan menginjak usia 100 tahun dalam masa dua tahun lagi, katanya beliau mengamalkan senaman regangan badan setiap pagi selain menjaga pemakanan.
“Saya rasa masih sihat dan sering berasa umur saya baru 80 tahun,” katanya bergurau.
Lijah kini tinggal di Taman Kelab Tuanku ditemani anak perempuannya dan pembantu rumah.
Ketika ditemui di kediamannya, Lijah masih boleh berkomunikasi dan berjalan dengan baik walaupun kelihatan sedikit bongkok selain memerlukan bantuan tongkat.
Anak jati Rembau dengan lima orang anak yang sebelum ini menjadi suri rumah itu turut menyeru warga DUN Rantau untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka terutama golongan muda. – Bernama











