REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S.Streram menafikan pihaknya mengeksploitasi sekumpulan kanak-kanak dalam kempennya di Taman Orkid pada malam Rabu lalu.
Pakar bius itu berkata, kanak-kanak itu yang hadir dan berada di atas pentas ceramah sebenarnya adalah peserta aktiviti mewarna anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Tuduhan bahawa PH menggunakan kanak-kanak kecil dalam program kempen adalah tidak benar. Ia sebenarnya pertandingan lukisan (mewarna) yang dianjurkan sebuah NGO di sini.
“Mereka (NGO) tersebut membuat pemberian hadiah selepas pertandingan itu. Mungkin itu satu-satunya pentas yang ada. Ini persepsi sahaja dan tiada kaitan dengan program PH,” katanya semasa melakukan ziarah mesra kepada ahli-ahli Persatuan Man Nam Kong Soh di pekan Rantau dekat sini hari ini.
Streram berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai catatan bekas Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak di akaun Facebook rasminya hari ini.
Berdasarkan catatan itu, Najib membidas PH kerana didakwa menggunakan kanak-kanak untuk tujuan PRK pada waktu malam di atas pentas. Beliau menyifatkan tindakan tersebut tidak beretika dan melanggar undang-undang. – K! ONLINE











