REMBAU – Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat seolah-olah tidak bersikap berkecuali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kali ini.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pakatan Harapan (PH) dilihat melanggar banyak peraturan sejak kempen PRK DUN Rantau bermula, tetapi terlepas daripada tindakan SPR.
“Kalau BN letak gambar selain Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) disoal, tetapi mereka, gambar Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang tak ada kaitan dan jawatan politik pun dipaparkan.
“Cuba tengok di Rantau, jamuan diadakan secara terbuka, gunakan kemudahan TV3 buat siaran langsung dan habiskan beratus ribu ringgit untuk satu program. Mereka langsung tidak hormati undang-undang,” dakwanya pada sidang akhbar selepas kempen PRK DUN Rantau di Kampung Linsum di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika diminta mengulas isu tersebut menggesa SPR supaya lebih teliti dalam pemantauan mereka terhadap perjalanan kempen PRK DUN Rantau.
Menurut beliau, SPR sebelum ini memberitahu akan mengadakan pemantau pada setiap acara besar dalam kempen PRK tersebut, maka tindakan perlu diambil sekiranya wujud pelanggaran peraturan.
“Jangan nampak seolah-olah berat sebelah kerana tiada tindakan. Kalau ada (pelanggaran peraturan), tindakan kena diambil secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan 02 Sendayan dekat sini hari ini. – K! ONLINE











