REMBAU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi sokongan kuat kepada Dr. S. Streram yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mahathir yang juga Perdana Menteri meminta kepada beliau menyampaikan perkara itu kepada umum.
“Saya bincang dengan Perdana Menteri semalam. Dia bagi sokongan dan minta disampaikan. Sama ada dia perlu hadir (berkempen) atau tidak saya akan bincang selebihnya.
“Dia nak ‘travel’ saya simpati juga, namun yang lain (pemimpin tertinggi PH) semua datang (ke Rantau),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Sembang Santai Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Sendayan dekat sini hari ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, terdapat kebijaksanaan pada Mahathir kerana memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Katanya, beliau telah menjelaskan kepada Mahathir bahawa prinsip Statut Rom ICC adalah kearah perubahan, ketelusan dan ‘rule of law, tetapi masalah dan kebimbangan mengenainya perlu dileraikan terlebih dahulu.
“Seperti mana isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Kadang-kala penafsiran negatif yang dimainkan politik pembangkang harus diambil kira maka kita kena jelaskan,” katanya. – K! ONLINE











