REMBAU – Penyokong Pas ikhlas dan jujur dalam membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berdepan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kali ini.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, berdasarkan faktor itu beliau tidak berasa khuatir dengan peranan yang boleh dimainkan oleh calon Bebas, Mohd. Nor Yassin memecahkan undi penyokong Pas.
“Beliau (Mohd. Nor) boleh kata apa sahaja (mengenai kerjasama UMNO dan Pas). Bagaimanapun saya lihat Pas dan juga penyokong Pas ikhlas serta jujur dalam berkerjasama dengan UMNO dan penyokong UMNO, maka saya tidak risau,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan 02 Sendayan dekat sini hari ini.
Mohd. Nor yang juga bekas ahli Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) ketika ditemui pemberita di Rantau semalam menafikan beliau bertanding PRK bagi kerusi DUN Rantau kerana mahu memecahkan undi Melayu.
Beliau sebaliknya mempersoalkan mengapa Pas tidak bertanding dalam PRK berkenaan bagi meneruskan perjuangan kepimpinan Islam bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Lelaki berusia 67 tahun itu malah membidas Pas kerana bersengkongkol dengan BN dan UMNO yang beliau dakwa sangat bermasalah. – K! ONLINE











