ALOR SETAR 1 April – Sebanyak 47 laporan diterima polis membabitkan kerugian mencecah RM2.6 juta daripada mangsa-mangsa penipuan skim pelaburan yang dianjurkan sebuah syarikat di negeri ini sejak dua tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintenden Annuar Amri Abd. Muluf berkata, mangsa-mangsa skim itu terdiri daripada mereka yang bekerja dalam pelbagai bidang termasuk kakitangan kerajaan dan syarikat swasta serta golongan pesara.
Menurutnya, kesemua mangsa yang berumur antara 25 hingga 76 tahun itu mula membuat laporan polis sejak 2017 selepas menyedari ditipu skim terbabit yang dipercayai didalangi seorang individu bergelar datuk seri.
“Skim pelaburan ini mula ditawarkan sejak 2016 dengan menjanjikan pulangan sebanyak lapan peratus pada setiap bulan kepada individu yang berminat.
“Pulangan yang tinggi ini telah menarik perhatian para pelabur dan terdapat mangsa yang sanggup melabur sebanyak RM230,000 tanpa mendapat sebarang pulangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Annuar Amri, pihaknya menerima sebanyak 18 laporan sepanjang bulan lalu yang membabitkan kerugian sehingga RM1.03 juta, manakala tiga laporan pada tahun lalu serta 26 lagi dibuat pada 2017.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berkenaan dengan penipuan pelaburan ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan yang tidak sah atau mendedah maklumat kewangan peribadi kepada mana-mana syarikat terbabit,” katanya.
Kata beliau lagi, orang ramai juga perlu mengelak daripada membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia di bawah Bank Negara selain perlu menyemak dengan pihak berkuasa sekiranya meragui sebarang skim yang ditawarkan.
“Syarikat-syarikat yang melanggar peraturan itu pula boleh diambil tindakan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukum penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











