MIRI 18 April – Dalam tempoh 24 jam, polis berjaya menyelesaikan kes ragut membabitkan seorang wanita di hadapan sebuah Sekolah Kebangsaan Pujut Corner di sini selepas menahan seorang lelaki semalam.
Dalam tangkapan kira-kira pukul 11.14 pagi itu, suspek berusia 22 tahun itu ditahan susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa yang bekerja sebagai kerani swasta pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Miri. Asisten Komisioner, Lim Meng Seah berkata, ketika kejadian, wanita berusia 42 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal di hadapan sekolah tersebut sebelum didatangi seorang lelaki lalu merampas beg galas mangsa yang diletakkan di dalam bakul motosikal.
“Mangsa cuba mengejar suspek tetapi gagal dan hasil kejadian itu, suspek telah melarikan pelbagai barangan milik mangsa antaranya telefon bimbit serta wang tunai dengan jumlah anggaran kerugian RM1,500.
“Hasil siasatan lanjut, mangsa memberitahu, ketika kejadian suspek tersebut dikatakan menaiki motosikal tanpa nombor pendaftaran dan memakai topi keledar merah gelap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Meng Seah, siasatan lanjut masih berjalan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.- BERNAMA











