GOPENG – Polis akan membuat pemantauan terhadap penganjuran ‘Misi Hari Ke-15 Operasi Mencari Md. Ashraf Secara Besar-Besaran’ yang akan diadakan di tapak perkhemahan Gua Tempurung di sini pagi esok.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, langkah tersebut dibuat bagi mengelak timbulnya kekecohan di kawasan tersebut walaupun tiada mana-mana pihak tampil untuk memohon permit atau memaklumkan penganjuran aktiviti itu kepada polis.
“Sehingga petang ini, kita masih juga belum menerima sebarang permohonan atau makluman daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan program tersebut walaupun ia dah tular di media sosial sejak kelmarin.
“Kita bimbang orang ramai yang datang dari jauh untuk menyertai acara tersebut timbul rasa tidak berpuas hati selain berkemungkinan berlaku kekecohan di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai, Kampung Pintu Padang di sini sebentar tadi.
Mengulas mengenai kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu, Hasron Nazri berkata, polis masih meneruskan rondaan di beberapa lokasi termasuk di kawasan perkampungan.
“Walaupun operasi bersepadu mencari dan menyelamat (SAR) telah ditutup secara rasmi pada 30 Mac lalu, kita sebenarnya masih juga meneruskan rondaan di sekitar kawasan tersebut.
“Sebagai contoh, seramai 25 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar pada petang ini telah melakukan rondaan di Bukit Batu Putih,” katanya.
Katanya, program Gaya Hidup Sihat yang dijalankan setiap petang Jumaat itu dilakukan di pelbagai lokasi yang berbeza setiap minggu dan pihaknya memilih Bukit Batu Putih untuk aktiviti mendaki minggu ini.
“Selain Bukit Batu Putih, kita turut melakukan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan perkampungan yang berhampiran dengan bukit berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya masih meneruskan operasi pencarian yang memasuki hari ke-13 walaupun tiada petunjuk baru ditemui.
“Pencarian di sekitar dan di dalam Gua Tempurung juga tidak menemui sebarang tanda-tanda yang boleh merujuk kepada mangsa,” katanya. – K! ONLINE











