MARAN 17 April – Perak melangkah ke saingan suku akhir Piala FA setelah menewaskan Jerantut 2-1 dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.
Tuan rumah terlebih dahulu mengancam kubu pelawat seawal minit ketiga namun rembatan penyerang importnya, Berete Mamadou tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Pelawat melakukan beberapa serangan balas selepas itu untuk mencari gol pertama tetapi dipatahkan oleh benteng pertahanan tuan rumah.
Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi hampir meletakkan pelawat di hadapan namun rembatannya singgah di tiang gol tuan rumah pada minit ke-20.
Ketika separuh masa pertama seakan-akan berkesudahan tanpa jaringan, Muhamad Firdaus Abdul Razak menceriakan penyokong tuan rumah menerusi jaringan menarik hasil sepakan percuma pada masa kecederaan.
Bersambung babak kedua, Perak melakukan serangan bertali arus namun penjaga gol tuan rumah, Mohamad Rozlan Arbae bertindak cemerlang menjaga gawangnya.
Mohamad Rozlan ternyata sukar dibolosi apabila berjaya menangkap kemas tandukan pemain tengah Perak, Brendan Gan pada minit ke-70.
Penyerang import pelawat, Wander Luiz bagaimanapun menyamakan kedudukan 1-1 lima minit kemudian setelah menanduk masuk hantaran Muhammad Shahrel Fikri.
Penyerang dari Brazil itu berjaya meledak gol kedua pada minit ke-84 bagi memastikan kemenangan milik Perak untuk layak ke peringkat suku akhir. – UTUSAN ONLINE











