Pertumbuhan wang M3, pinjaman kukuh pada 2019 - Utusan Malaysia

Pertumbuhan wang M3, pinjaman kukuh pada 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 April – Pertumbuhan bekalan wang secara meluas (M3) dan pinjaman dijangka kekal kukuh, masing-masing pada 5.5 dan 5.2 peratus tahun ini yang dapat memastikan tekanan permintaan didorong harga akan terkawal, menurut RHB Research Institute.

Firma penyelidikan itu berpandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus pada 2019.

RHB Research Institute berkata, berkemungkinan kelonggaran dasar monetari semakin ketara berikutan bank pusat global utama semakin beralih daripada pendirian untuk mengetatkan dasar monetari.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan pengurangan kadar (OPR) oleh BNM sememangnya akan bergantung kepada kadar pertumbuhan ekonomi jika ia lemah berbanding jangkaan,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Pertumbuhan M3 Malaysia merosot bagi bulan kedua berturut-turut kepada enam peratus setakat akhir Februari berbanding +6.66 peratus yang disemak pada Januari susulan permintaan rendah terhadap dana daripada sektor awam dan swasta.

Bagaimanapun, penurunan permintaan dalam operasi dana asing pada kadar yang tidak ketara pada bulan itu, sebahagiannya telah mengurangkan penyusutan pertumbuhan.

“Selain itu, pertumbuhan bekalan wang secara sempit (M1) merekodkan kadar sederhana kepada 0.5 peratus tahun ke tahun selepas meningkat kepada 1.6 peratus pada bulan sebelumnya ketika pertumbuhan mata wang dalam edaran susut secara ketara,” katanya.

Selain itu, pertumbuhan pinjaman sistem perbankan berkurangan kepada lima peratus tahun ke tahun pada akhir Februari, penurunan bulan ketiga berturut-turut berbanding 5.5 peratus pada Januari.

RHB Research Institute berkata, sektor korporat dan isi rumah turut mendorong kepada penyusutan pertumbuhan pinjaman.

“Pertumbuhan pinjaman korporat mencatatkan kadar sederhana kepada 4.7 peratus tahun ke tahun pada bulan itu berbanding 5.4 peratus pada Januari berikutan pinjaman yang lebih rendah melibatkan sektor perlombongan, hartanah, pertanian dan utiliti.

“Bagaimanapun, permintaan tinggi yang berterusan terhadap pinjaman daripada sektor pembuatan, borong dan runcit, pembinaan, perkhidmatan kewangan dan perniagaan, pengangkutan serta penyimpanan, masing-masing turut mengurangkan penurunan itu,” katanya.

Pertumbuhan pinjaman sektor isi rumah menyusut pada Februari kepada 5.2 peratus tahun ke tahun berbanding 5.5 peratus pada Januari menjadikan penurunan enam bulan berturut-turut selepas meningkat pada Ogos 2018 ketika kekurangan pemberian pinjaman hartanah perumahan oleh sektor perbankan selain penyederhanaan pinjaman pengguna lain. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini