KUALA LUMPUR 2 April – Seorang kaki pancing meraih kemenangan berganda apabila dinobatkan sebagai juara dan tempat ketiga dalam pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) Siri 3/2019 di Taman Tasik Metropolitan, Kepong dekat sini.
Mohd. Afandi Mohd. Jabie, 43, berjaya menaikkan dua ekor patin seberat 8.880 kilogram (kg) dan 7.635 kg dalam pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.
Melalui kejayaan tersebut, Mohd. Afandi membawa pulang wang tunai RM6,000 dan RM1,000 berserta barangan iringan berupa produk Igloo-UFL dan Oyoshi.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi Ikhwon Saiful, 35, yang berjaya menaikkan ikan patin seberat 7.635 kg sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.
Hadiah bagi kedua-dua pemenang disampaikan oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Tang Siew Seng.
JPKL Siri 4/2019 akan kembali menemui kaki pancing pada 14 April ini di Taman Tasik Permaisuri, Cheras di sini dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sosial Facebook jorankl atau menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811. – UTUSAN ONLINE











