KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah lebih RM3 juta akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 7 Oktober ini selama 13 hari.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika kes itu disebut buat pertama kali di Mahkamah Tinggi di sini.
Tarikh yang ditetapkan bermula 7 hingga 9 Oktober sebelum disambung semula pada 14 hingga 25 bulan yang sama.
Hakim Mohd. Nazlan turut menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan akhir kes itu sebelum perbicaraan.
Terdahulu, Mohd. Isa, 70, yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan semula. – K! ONLINE










