TAPAH – Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan semalam selepas dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Kampung Batu 3, Temoh dekat sini.
Suspek yang merupakan seorang penjawat awam itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada pukul 9 malam selepas dia dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuat bapa mangsa kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, perbuatan jijik terhadap kanak-kanak itu terbongkar apabila mangsa memaklumkan perlakuan tidak senonoh suspek itu kepada neneknya.
“Bapa mangsa yang juga jiran suspek itu kemudiannya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut sebelum dia membuat laporan polis dan membawa mangsa untuk diperiksa di Hospital Tapah.
“Siasatan mendapati suspek sering membawa mangsa yang tinggal berhampiran rumahnya itu ke kawasan lombong dan surau serta dia dipercayai telah beberapa kali dicabul dengan kali terakhir dilakukan pada 29 Mac lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Wan Azharuddin, pemeriksaan doktor pakar mendapati terdapat kesan kecederaan pada kemaluan mangsa.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermul hari ini sehingga 9 April depan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya. – K! ONLINE











