KUALA LUMPUR 1 April – Pengetahuan luas serta strategi permainan yang berkesan dipercayai menjadi antara sebab utama Persatuan Badminton Jepun mengambil jurulatih Malaysia untuk membimbing skuad kebangsaan negara itu.
Jurulatih beregu campuran Jepun, Jeremy Gan berkata, kebanyakan jurulatih Malaysia cepat menyesuaikan diri dengan budaya kerja di negara luar selain dan bersedia untuk menimba pengalaman baharu.
“Mengenai perkara ini kena tanya Park Joo Bong (ketua jurulatih Jepun) tetapi saya rasakan, kebanyakan jurulatih kita mahu menimba pengalaman di luar untuk di bawa balik ke Malaysia.
“Saya fikir, Jepun merasakan kita mempunya pengetahuan dari segi strategi permainan yang sangat baik, jadi mungkin ia menjadi antara sebab kebanyakan jurulatih mereka datang dari Malaysia,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Baru-baru ini dua jurulatih dari Malaysia iaitu Tan Kim Her dan Lee Wan Wah menyertai skuad kebangsaan Jepun bagi merealisasikan impian Sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung di negara itu.
Sementara itu, Kim Her yang juga bekas jurulatih beregu India memberitahu, keputusannya menyertai Jepun kerana dia mahu mencari pengalaman baharu selepas sekian lama dipertanggungjawabkan untuk melatih pemain-pemain muda di beberapa negara termasuk Korea Selatan dan England.
Katanya, dia kini memainkan peranan untuk membimbing pasukan beregu lelaki negara itu dengan beberapa pemain utama Jepun termasuk Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe berada di bawah kendaliannya.
“Sebelum ini saya hanya membimbing pemain-pemain muda dan bertanggungjawab untuk membentuk pasukan baharu tetapi saya mengambil keputusan untuk menyertai Jepun bagi mencari pengalaman baharu.
“Sekarang ini tugasan saya bukan untuk bina pasukan tetapi hanya memberikan sentuhan kepada pasangan sedia ada kerana mereka sudah ada standard tersendiri dan bantu mereka dari aspek taktikal sahaja.
“Sebelum ini saya pernah bekerja dengan Park, dia adalah seorang pemimpin yang baik, dia membuat segala perancangan dan kami hanya lakukan sahaja,” katanya.- UTUSAN ONLINE











