PASIR MAS – Seorang pemuda berusia 22 tahun maut dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah stor lori berhampiran Kampung Bagus, Rantau Panjang di sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, mangsa, Mohd. Noradinin Hafiq Osman, 22, cedera selepas dipukul sekumpulan lelaki.
Dia bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang pada Selasa lalu ketika mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Terdahulu, pada hari kejadian mangsa yang berasal dari Kota Bharu telah dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan sebelum dirujuk ke HUSM.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada motif cemburu.
“Mangsa dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang wanita berusia 20 tahun dan merupakan isteri kepada seorang lelaki berusia 26 tahun, berasal dari Kampung Lubok Stol.
“Jadi kita minta lelaki berkenaan supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdullah berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan di kepala.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum menemui sebarang objek yang digunakan dalam kes tersebut.
Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE










