Pelanggan jalur lebar mudah alih 36.8j - Utusan Malaysia

Pelanggan jalur lebar mudah alih 36.8j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 17 April – Jalur lebar mudah alih mencatatkan pertumbuhan pelanggan sebanyak 4.3 pe­ratus atau tambahan 1.5 juta kepada 36.8 juta pelanggan pada tahun lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, peningkatan itu didorong oleh capaian liputan 3G dan 4G/LTE yang lebih meluas, kualiti rangkaian yang lebih baik serta peningkatan persaingan dalam pasaran jalur lebar.

Katanya, peningkatan tersebut juga adalah hasil inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menurunkan harga jalur lebar iaitu Kelajuan Berganda Pada Separuh Harga pada 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk Malaysia meningkat kepada 121.11 peratus tahun lalu daripada 6.1 peratus pada 2008. Jumlah langganan jalur lebar tetap pula meningkat daripada 2.59 juta pada 2017 kepada 2.66 juta tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah SKMM, langkah berkenaan adalah selaras de­ngan usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Jelasnya, secara purata, ­harga untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sudah menurun sebanyak 49 peratus.

Usaha itu, jelas SKMM, turut memberi impak kepada kedudukan terkini Malaysia dalam Indeks Global Speedtest.

“Laporan Indeks Global Speedtest oleh Ookla pada Februari lalu mencatatkan kelajuan muat turun jalur lebar tetap di Malaysia secara purata adalah 64.51 Megabit sesaat (Mbps) berbanding  22.26Mbps tahun lalu dan negara kini berada pada kedudukan ke-32 di dunia berbanding ke-56 pada 2017,” jelasnya.

Menurut SKMM lagi, Malaysia bakal memperkenalkan teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G yang dijangka mampu mengubah hampir ­keseluruhan aspek kehidupan seharian termasuk urusan kerajaan dan perniagaan.

“Penggunaan secara komersial teknologi 5G di negara ini akan dapat direalisasikan menjelang 2021 atau 2022.

“Apa yang pasti, SKMM akan terus komited dalam usahanya memperkukuhkan kesalinghubungan digital di seluruh negara sekali gus memberi lonjakan kepada kehidupan rakyat secara keseluruhannya,” jelas­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini