KOTA BHARU 7 April – Seorang pelajar berumur 17 tahun yang dipercayai penjual dadah di antara 266 orang ditahan dalam Ops Perdana Khas di negeri ini bermula 1 April sehingga hari ini.
Pelajar tersebut yang dikatakan bergiat aktif hampir setahun itu ditahan semasa menjual pil kuda kepada pelanggannya kira-kira pukul 8.30 malam Selasa lalu oleh Pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (Strike) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)di tepi jalan Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh.
Timbalan pengarah ADDK negeri, Aman Mustapha berkata, pelajar itu menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menjalankan urus niaga dadah kepada pembeli di sekitar daerah Pasir Puteh.
Katanya, dua anggota Strike pada mulanya menahan seorang pembeli sebelum membawa kepada penahanan pelajar tersebut bersama seorang lagi rakannya berumur 19 tahun.
“Hasil penahanan itu anggota Strike berjaya menemukan tujuh biji pil kuda pada pelajar berkenaan dipercayai diperoleh dari pengedar utama di daerah Pasir Puteh.
“Kami difahamkan pelajar ini merupakan anak tunggal dan ingin mencari kemewahan melalui pakaian dan telefon mahal merupakan faktor dia menjadi penjual dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Aman berkata, selepas disaring pelajar tersebut didapati negatif namun dia mempunyai rekod lampau semasa membuat ujian air kencing di peringkat sekolah didapati positif dadah dan kini ditempatkan selama tiga bulan di Pusat Perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan CCSC Kemahang Tanah Merah.
Sementara itu katanya, Ops Perdana Khas itu telah dilaksanakan beberapa kawasan berisiko tinggi dikategorikan zon merah di semua daerah kecuali Jeli di bawah program perangi dadah habis- habisan.
“Operasi ini telah melibatkan 38 pegawai dan anggota Strike dan 63 orang pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaaan dan Keselamatan AADK daerah.
“Seramai 206 orang berumur 17 hingga 58 tahun telah ditahan selepas didapati positif ujian saringan air kencing manakala dua orang telah ditahan memiliki dadah dan 19 orang telah ditahan kerana kesalahan lain,” katanya.
Tambahnya, dalam operasi itu pasukan Strike merampas sebanyak 147 biji pil kemerahan disyaki dadah pil kuda, 4,406 botol ubat batuk dan 233 kilogram daun ketum. – UTUSAN ONLINE











